Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksNo Plastic Bag Weekend

Inisiatif Hujung minggu Tanpa Beg Plastik

Pengurusan sisa pepejal merupakan salah satu isu alam sekitar yang sangat penting di Negara ini. Menurut kaji selidik yang dilaksanakan oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi pada tahun 2005 telah mendapati bahawa jumlah sisa pepejal yang dikutip mencapai 189,000 ton setahun. Ini bermakna bagi setiap seorang penduduk menghasilkan 1.4kg sisa pepejal dalam masa sehari yang mana ianya merupakan salah satu jumlah yang tertinggi di rantau ini.

Dari jumlah sisa berkenaan, 16% adalah terdiri dari sisa plastik dan sebahagian besarnya adalah merupakan sisa beg-beg plastik.

Beg plastik atau lebih dikenali di Negara ini sebagai 'beg kerisik-kerisik' atau 'kantung kuyas-kuyas' telah lama digunakan sebagai satu kemudahan semasa membeli-belah. Beg plastik sangat mudah didapati memandangkan ianya diberikan secara percuma di kesemua kedai-kedai dan gedung-gedung membeli-belah.

Walaubagaimanapun, sifat beg plastik yang tahan lama dan tidak mudah reput merupakan satu masalah terhadap alam sekitar. Beg plastik mengambil masa yang agak lama untuk reput di alam sekitar dan dianggarkan mengambil masa selama lebih 1000 tahun.  Dalam proses pereputan itu beg plastik juga menghasilkan bahan-bahan toksik yang boleh mencemarkan tanah dan sumber air di mana ianya bukan sahaja memberi kesan kepada tanaman dan tumbuh-tumbuhan tetapi juga binatang.

Bahan kimia yang merbahaya tersebut boleh memasuki rantai makanan dimana binatang secara tidak langsung boleh memakannya. Selain daripada itu pembuangan beg-beg plastik dengan sewenang-wenangnya boleh mengancam kehidupan laut dan menyebabkan kematian. Yang pada mana beg-beg plastik yang hanyut ke laut disangkakan sebagai obor-obor atau makanan mereka. Ini merupakan salah satu sebab mengapa banyak Negara-negara telah memberhentikan pengunaan beg-beg plastik dan mengantikanya dengan beg-beg guna semula yang lebih mesra alam.

Sehubungan dengan itu pembuangan beg plastik juga mencemarkan keindahan alam sekitar dan menyebabkan longkang-longkang dan parit-parit tersumbat yang mengakibatkan banjir.

Beg-beg plastik diperbuat dari bahan petroleum dan penghasilan plastik memerlukan berjuta-juta gelen minyak yang boleh dimanfaatkan untuk kegunaan lain seperti minyak pengangkutan ataupun untuk menghasilkan tenaga elektrik.

Penduduk seluruh dunia dianggarkan menggunakan 1 trilion beg plastik setiap tahun. Mengikut anggaran lain, Taiwan mengunakan 20 bilion beg plastik setahun (900 setiap seorang), Jepun menggunakan 300 bilion beg plastik setahun (100 setiap seorang) dan Australia menggunakan 6.9 bilion beg plastik setiap tahun (326 beg plastik setiap seorang).

Manakala di Brunei Darussalam, melalui kaji selidik yang dijalankan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi pada dua hujung minggu di tahun 2011 mendapati bahawa penggunaan beg plastik bagi sebuah pasaraya ialah 3000-8000. Dari jumlah ini, setiap pasaraya akan menggunakan 144,000 – 393,600 beg plastik setiap tahun yang mana jumlah ini hanyalah dari anggaran pada hujung minggu sahaja.

Bagaimana pula bagi mereka yang membeli-belah di hari-hari biasa? Kumpulan Pasaraya di bawah Syarikat Milmewah melaporkan penggunaan beg plastik adalah sebanyak 6 juta setahun. Jika jumlah 3000-8000 beg plastik ini digunakan setiap hari oleh setiap pasaraya di Negara ini, maka 20 pasaraya akan menggunakan 22-60 juta setahun.Dalam kaji selidik ini juga mandapati sebanyak 180 orang pelanggan pasaraya yang menggunakan beg guna semula semasa membeli belah. Ini hanyalah 0.99% daripada 18,043 pelanggan yang masih lagi menggunakan beg plastik. Oleh yang demikian dengan peratus yang begitu kecil ini diharapkan boleh meningkatkan lagi kesedaran awam dan seterusnya menggunakan beg guna semula secara berterusan.

Kempen promosi penggunaan beg guna semula sudah lama diperkenalkan bermula pada tahun 2008 dalam acara memperingati Hari Alam Sekitar Sedunia yang telah dilancarkan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan. Acara tersebut diadakan di gedung perniagaan Giant Hypermarket Rimba di mana beg-beg guna semula diagih-agihkan kepada pelanggan gedung tersebut pada hari berkenaan.

Kempen itu diteruskan dengan pengagihan beg-beg guna semula di beberapa buah gedung perniagaan lain seperti Hua Ho, Supasave, Utama Grand dan Jaya Hypermart. Ianya juga dilaratkan ke gedung-gedung perniagaan di kesemua daerah. Bahkan kempen ini juga diadakan pada bulan puasa di mana beg-beg guna semula diagih-agihkan secara percuma di dua gerai Ramadhan utama di daerah Brunei-Muara.

Sebagai kesinambungan, satu kempen awam Hari Tanpa Beg Plastik juga telah diadakan oleh kementerian ini semasa menyambut Hari Mesra Pelanggan Kementerian Pembangunan pada bulan mei 2010. Pada hari pelancaran tersebut, Yang Berhormat Menteri Pembangunan pada ketika itu telah sama-sama turut serta mengunjungi ke tiga buah gedung perniagaan Hua Ho, Supasave dan Giant untuk mengagihkan beg guna semula kepada pelanggan-pelanggan gedung tersebut. Sepanjang kempen itu dijalankan pelanggan-pelanggan yang membeli-belah di gedung-gedung perniagaan utama tidak diberikan beg plastik secara percuma malah dikenakan bayaran 10 sen seplastik. Ini bertujuan untuk mendidik orang awam untuk mula mempraktikan penggunaan beg guna semula apabila membeli-belah.

Inisiatif Hujung Minggu Tanpa Beg Plastik (No Plastic Bag Weekend) telah dilancarkan pada 26 Mac 2011 dimana pengunaan beg plastik tidak dibolehkan pada hunjung minggu. Tujuan inisiatif ini diungkayahan oleh Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) untuk menggurangkan penggunaan beg plastik dan seterusnya mempromosikan penggunaan beg guna semula apabila membeli-belah. Manakala sokongan dan kerjasama dari gedung-gedung perniagaan utama di Negara seperti tidak menyediakan beg-beg plastik untuk pelanggan di hujung minggu juga membantu keberkesanan inisisatif ini.

Memandangkan sambutan yang menggalakan dari orang ramai, pada 16 Februari 2012 inisiatif tersebut telah dilaratkan dengan memasukan hari Jumaat untuk menjadikannya Inisiatif Hujung Minggu Tanpa Beg Plastik (No Plastic Bag Weekend) selama tiga hari dalam seminggu. Dalam pada masa yang sama ada setengah pihak yang juga mahukan inisiatif tersebut untuk terus menghentikan penggunaan beg plastik setiap hari.

Pada awal inisiatif dilancarkan cuma ada 18 buah pasaraya yang turut serta dalam inisiatif ini. Apabila hari Jumaat dimasukkan, jumlah ini bertambah kepada 49 buah pasaraya dan juga kedai-kedai kecil seperti kedai roti, kedai kain, kedai buku dan lain-lain.

Selepas pelancaran inisiatif dijalankan terdapat juga banyak aduan dan rintihan daripada orang ramai mengenai kesukaran mereka untuk membeli-belah tanpa beg plastik. Menurut kaji selidik yang dijalankan oleh Jabatan ini pada satu hujung minggu bulan Mei 2011 selepas pelancaran mendapati bahawa hanya 47% sahaja yang membawa beg guna semula, manakala 12% menggunakan kotak karton yang disediakan oleh pasaraya dan selebihnya 41% menggunakan troli atau memegang sahaja barang belian mereka.

Dari kaji selidik pada hari-hari biasa pula mendapati bahawa terdapat sedikit peningkatan pada jumlah pembeli yang menggunakan beg guna semula jika dibandingkan dari sebelum inisiatif dilancarkan. Ini menunjukkan inisiatif ini telah mendatangkan kesan kepada pembeli untuk membiasakan dan menanamkan sifat penggunaan beg guna semula meskipun pada hari-hari biasa.

Dari pemerhatian ini, dapat dilihat sambutan dari pengurus kedai-kedai serta orang ramai yang mana menggunakan beg guna semula jelas diterapkan semasa membeli belah. Perkara ini juga dapat dilihat terbawa-bawa semasa membeli juadah berbuka puasa di gerai-gerai Ramadhan, di mana ada sebilangan penduduk yang mengamalkan penggunaan beg guna semula ini.

Di masa akan datang, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi akan menambah hari-hari tanpa beg plastik ini secara berperingkat-peringkat sehingga keseluruhan atau setiap hari penggunaan beg plastik di kedai-kedai ditiadakan pada hari-hari biasa. Pada kesimpulannya, diharapkan inisiatif ini boleh mencapai target kerajaan kearah peningkatan tahap kitar semula di Negara ini kepada 10% pada tahun 2015 dan 15% pada tahun 2020.